Tentang Kami

RASIONAL
Perkataan “belia” kini mempunyai konotasi negatif dikalangan golongan tersebut. Ia dikaitkan dengan golongan yang agak elit, hanya bercampur-gaul sesama yang “sama” dengan mereka dan agak pro-establishment. Dalam perkataan yang lebih mudah, “belia berbaju batik” yang tidak mengetahui arus masa kini dan tidak berpijak di bumi nyata. Ditambah pula dengan persatuan-persatuan belia yang ditanggapi golongan muda sebagai “dikuasai” orang-orang yang bukan-pun-muda-belia sebenarnya dan terlihat seperti hanya menjadi “alatan” orang-orang politik.
Oleh itu, kami di Sekretariat berusaha menarik perhatian dan sokongan golongan muda dan berniat untuk memulangkan semula semangat belia yang sebenarnya kepada mereka. Dijangkakan dengan menggunakan catchphrase Gen-S iaitu singkatan kepada Generasi Selangor, dapat kita pujuk mereka untuk lebih dekat dengan program-program belia anjuran kerajaan negeri Selangor, dan dalam masa yang sama, membangkitkan semangat cintakan Selangor dan berbangga menjadi rakyat Selangor.
PERINCIAN
Terdapat lima komponen utama yang menjadi fokus Sekretariat ini, yang dapat dirangkumkan dalam lima ‘S’:
Sahsiah – Belia Selangor haruslah mempunyai sahsiah yang terpuji, berbudi pekerti mulia dan berketerampilan. Semangat kepimpinan yang tinggi harus ditanam didalam diri setiap anak muda Selangor. Program-program berbentuk seminar, debat dan latihan kepimpinan dapat membantu dalam memupuk sahsiah mereka.
Sosial – kepentingan untuk berinteraksi sesama rakan sebaya tidak dapat dinafikan; golongan belia suka dengan aktiviti berkelompok, samada untuk aktiviti yang positif mahupun negatif. Dengan mengambilkira latar ini, SBNS mengorak langkah untuk menyediakan satu saluran untuk belia-belia di Selangor bersosial dengan sihat.
Seni – seni melambangkan ketinggian sesuatu peradaban. Tidak dapat tidak, keluhuran budaya kita boleh diukur dengan tahap kesenian masyarakat kita. Seni, dalam bentuk apa pun, sangat penting untuk perkembangan belia. Belia tanpa seni boleh dikatakan belia yang kaku, oleh itu Sekretariat memandang tinggi kepentingan sektor ini dan berhasrat untuk memastikan golongan belia di Selangor peduli-seni.
Sukan – sukan adalah antara kegemaran aktiviti masa lapang golongan muda. Pembangunan sukan yang bijak dan berjaya boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan belia seluruhnya, samada dari segi sosial, keperibadian mahupun kerjaya. Penting untuk kita menarik golongan muda melalui bahagian ini.
Sukarelawan – Belia yang berwawasan sedar akan tanggungjawab dan peranan yang boleh dimainkan oleh mereka di peringkat komuniti masing-masing. Sedari itu, SBNS telah mengatur dan akan menyelaraskan program-program yang boleh menyemarakkan semangat sukarelawan dan menjentik semangat aktivisme didalam jiwa para belia di Selangor |